Harta intelek adalah suatu cerapan minda yang bermula dengan episod penciptaan dan pertukangan akal, emosi serta jasmani dan menjurus kepada penghasilan karya-karya kreatif, inovasi, reka cipta, dan lain-lain. Variasi idea-idea ini, selain daripada mempunyai keunikan tersendiri, mampu mempelopori dan menguasai bukan sahaja pasaran tempatan, malah seantero dunia. Dengan pengupayaan dari segenap segi, harta intelek boleh ditransformasikan menjadi suatu wadah penggerak kemakmuran buana.
Di sebalik harta intelek, terserlah wajah-wajah individu yang berbakat hebat seperti para pengkarya, pencipta yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah. Mereka ini adalah wira-wira yang hakikatnya memerlukan sokongan sebenar dari pelbagai pihak agar perusahaan berlandaskan harta intelek yang diasaskan menjadi lebih berdaya maju dan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah antara satu sama lain.
Dengan semangat dan iltizam ini, Patentsworth dengan ini berinspirasi dengan sederap misi dalam membantu kebangkitan para wirawan ini melalui inisiatif "PROGRAM PEMBERDAYAAN KOMUNITI HARTA INTELEK" (BERDAYA).
BERDAYA adalah sebuah ikhtiar yang julung-julung kali diadakan oleh Patentsworth bersempena ulang tahun penubuhan firma ini, selaras dengan hasrat dan ikrar pengasas firma, Irfan Awang. BERDAYA, segagah namanya, adalah diharapkan agar dapat mencetus gagasan kesedaran di kalangan individu dan komuniti akan kepentingan perlindungan harta intelek dan seterusnya, dengan upaya pemberdayaan ini, dapat menghamparkan ledakan dan letusan produk Malaysia di mata dunia.
BERDAYA bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan perlindungan harta intelek, dari paten hingga hak cipta.
Program ini menyediakan panduan dan khidmat nasihat kepada usahawan, pencipta, serta pengkarya mengenai langkah-langkah pendaftaran dan perlindungan harta intelek.
Dengan perlindungan yang kukuh, produk dan inovasi tempatan dapat diperkenalkan ke pasaran global dengan lebih yakin.
Sebagai permulaan, BERDAYA membuka ruang ini untuk perlindungan harta intelek bagi kategori hak cipta.
Segala kos berkaitan proses perlindungan harta intelek kategori hak cipta, termasuk Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta melibatkan pemberitahuan karya hak cipta di dalam Daftar Hak Cipta di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah ditanggung oleh BERDAYA.
Ruangan bagi kategori-kategori lain seperti paten, cap dagang, rekabentuk industri dan petunjuk geografi tidak dibuka pada pusingan atau kitaran ini dan pemberitahuan akan diumum pada suatu masa kelak.
Permohonan ini terbuka kepada pemohon yang merupakan seorang individu atau sekumpulan individu yang bermastautin secara sah di Malaysia dan warganegara Malaysia yang berusia lapan belas (18) tahun dan ke atas dengan identiti pengenalan sah (MyKAD) pada 1 Januari 2026, dan merupakan pencipta sah bagi karya yang ingin dilindungi di bawah program BERDAYA. Penyertaan adalah percuma.
Pemohon tidak pernah atau sedang menerima apa-apa bentuk bantuan termasuk dana dan geran dari mana-mana pihak berkaitan karya yang ingin dilindungi di bawah program BERDAYA.
Karya yang ingin dilindungi mestilah asli dan adalah dalam kategori berikut:
Pemohon bersetuju dengan Terma dan Syarat yang ditetapkan oleh BERDAYA.
Pemohon hanya layak membuat satu (1) permohonan penyertaan pada satu-satu pusingan atau kitaran program BERDAYA. Hanya permohonan yang lengkap akan diproses. Pemohon yang disenarai pendek sahaja yang akan dihubungi.
Patentsworth International Sdn. Bhd.
201901001966 (1311292-M)
Program Pemberdayaan Komuniti Harta Intelek (BERDAYA)
“karya sastera” termasuklah (a) novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, karya syair dan penulisan lain; (b) lakonan, drama, arahan pentas, senario filem, skrip siaran, karya koreografi dan pantomim; (c) treatis, sejarah, biografi, karangan dan artikel; (d) ensiklopedia, kamus dan karya rujukan lain; (e) surat, laporan dan memorandum; (f) syarahan, ucapan, khutbah dan karya lain yang sama sifatnya; (g) jadual atau penyusunan, sama ada atau tidak dinyatakan dalam perkataan, angka atau simbol dan sama ada atau tidak dalam bentuk yang tampak; dan (h) program komputer;
“karya muzik” ertinya apa-apa karya muzik, dan termasuklah karya yang digubah untuk iringan muzik;
“karya seni” ertinya – (a) karya grafik, fotograf, seni ukir atau kolaj, tanpa mengira kualiti seni; (b) karya seni bina dalam bentuk bangunan atau model bagi bangunan; atau (c) karya pertukangan seni, tetapi tidak termasuk reka bentuk susun atur mengikut pengertian Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 [Akta 601];
“fotograf” ertinya suatu perekodan cahaya atau sinaran lain pada apa-apa bahantara yang padanya suatu imej dihasilkan atau yang daripadanya suatu imej boleh dengan apa-apa cara dihasilkan, dan yang bukan sebahagian filem;
“filem” ertinya apa-apa penetapan suatu siri gambaran pandangan pada bahan daripada apa-apa perihalan, sama ada lut cahaya atau tidak, supaya boleh dengan menggunakan bahan itu dengan atau tanpa apa-apa bantuan sesuatu perekaan – (a) ditunjukkan sebagai gambar bergerak; atau (b) dirakamkan pada bahan-bahan lain, sama ada lut cahaya atau tidak supaya dengan menggunakan bahan itu ia boleh ditunjukkan sedemikian, dan termasuklah bunyi yang terkandung dalam sesuatu runut bunyi yang berkaitan dengan suatu filem;
“rakaman bunyi” ertinya apa-apa penetapan siri bunyi atau suatu perlambangan bunyi yang boleh didengar dan boleh dikeluarkan semula dengan apa-apa cara, tetapi tidak termasuk suatu alur bunyi yang berkaitan dengan suatu filem;
Karya terbitan berikut adalah dilindungi sepertimana karya asal: (a) terjemahan, penyesuaian, susunan dan perubahan lain karya yang layak bagi hak cipta; dan (b) koleksi karya yang layak bagi hak cipta, atau penyusunan data semata-mata sama ada dalam bentuk yang boleh dibaca oleh mesin atau bentuk lain, yang menjadi suatu hasil ciptaan intelek oleh sebab pemilihan dan susunan kandungannya.