GOV, News

Kerajaan Bantu Pemilik IP Peroleh Pembiayaan

Kerajaan akan mengadakan lebih banyak perbincangan dan siri pertemuan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk syarikat permulaan, universiti dan institusi penyelidikan yang mempunyai harta intelek (IP) bagi membantu mereka mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kebanyakan PKS yang mempunyai IP tidak tahu bagaimana mendapatkan pembiayaan bagi melindungi IP dan kerajaan akan membantu mereka mendapatkan pembiayaan sewajarnya.

“Institusi penyelidikan, universiti dan syarikat permulaan adalah antara yang banyak menghasilkan IP, namun mereka agak sukar untuk berkembang dan meningkatkan perniagaan kerana kekurangan dana.

“Melalui Skim Jaminan Harta Intelek (SJHI) yang dikendalikan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), kita akan membantu syarikat ini dengan peruntukan disediakan, selain membantu mereka menyiapkan diri sebelum berdepan dengan institusi kewangan.

“Melalui SJHI, kerajaan memberi jaminan sehingga 80 peratus, berbanding skim lain dengan jaminan 70 peratus,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Prinsipal SJPP, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Dalam Bajet 2018 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu, kerajaan memperuntukkan dana RM9 bilion di bawah SJPP untuk PKS melalui lima skim.

Ia adalah Lanjutan Skim Jaminan Modal Kerja (SJMK) sedia ada dengan tambahan RM5 bilion; SJMK sedia ada untuk syarikat permulaan (RM200 juta) dan Lanjutan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan (SJSP) sedia ada dengan tambahan RM2 bilion.

Kerajaan turut menawarkan dua skim baharu, tahun ini iaitu Skim Jaminan Proses Automasi (SJPA) sebanyak RM1 bilion dan SJHI (RM1.5 bilion).

Irwan berkata, pihaknya menggesa institusi kewangan mengkaji semula kadar faedah dikenakan ke atas pembiayaan di bawah skim kelolaan SJPP kerana ia mendapat jaminan terus daripada kerajaan.

“Kebanyakan institusi kewangan mengenakan faedah sehingga 2.5 peratus kepada PKS. Kami faham situasi ini bagi institusi kewangan memandangkan perniagaan PKS bersifat tidak menentu dan berisiko tinggi.

“Dengan jaminan diberikan kerajaan, kadar faedah seharusnya lebih rendah kerana nilainya bersamaan dengan aset dimiliki syarikat,” katanya.

Sejak penubuhan pada 2009, SJPP menyediakan pembiayaan bernilai RM30 bilion yang memanfaatkan 11,339 PKS.

Ia juga berjaya menguruskan jaminan pada kadar bayaran jaminan rendah antara 0.5 hingga 1.0 peratus, seterusnya mengurangkan kos pembiayaan kepada PKS.


Source: Berita Harian

Related GOV, News

Malaysia Accedes to Madrid Protocol

GENEVA, 27 September 2019 – Malaysia becomes the 106th member of the Madrid Protocol System upon depositing the instrument of [...]

Intellectual Property Management & Commercialisation Seminar – 3rd Selangor International Business Summit 2019

Copyright Related Seminar: Enforcement Of Copyright Works In The Field Of Creative Contents

MyIPO hosted the Copyright Related Seminar: Enforcement of Copyright Works in the Field of Creative Contents which was organized by [...]

Seminar On Exchange Of Best Practices For Enforcement Officials

MyIPO hosted the Seminar on Exchange of Best Practices for Enforcement Officials which was organized by European Union Intellectual Property [...]